Salam,
Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya ini.
Saya merupakan seorang bekas guru Bahasa Inggeris. Sekolah akhir saya sebelum meletakkan jawatan ialah sebuah sekolah menengah di daerah Ulu Kinta. Saya meletakkan jawatan setelah 14 tahun mengajar dan hanya baru beberapa bulan menyandang gred DG44. Saya nekad meletakkan jawatan kerana terus terang saya katakan saya agak kecewa dengan bidang perguruan. Tugas mengajar di awal-awal saya bertugas dulu adalah jauh berbeza dan lebih menarik berbanding sekarang. Guru- guru sekarang memikul terlalu banyak tugasan sehingga menyebabkan mereka lari dari tugas sebenar iaitu mengajar. Apa yang telah saya lalui selama 14 tahun itu cukup menjadi pengalaman berharga buat diri saya.
Pada tanggal 22.4.2010 saya menghantar surat letak jawatan. Semuanya mudah buat saya, kerana saya dari skim KWSP dan tidak terikat dengan apa-apa pinjaman kerajaan. Dan untuk makluman semua, saya berhenti bukan atas sebab dikenakan tindakan tata tertib. Tetapi dengan rela hati melepaskan jawatan guru. Banyak sebab sebenarnya mengapa saya berhenti jadi guru.
Kini kehidupan saya lebih membahagiakan di mana saya tidak perlu lagi terkejar-kejar masa untuk tiba awal di sekolah, bergelumang dengan tugasan yang banyak, melayan kerenah segelintir rakan guru yang hipokrit serta pentadbiran dan pengurusan sekolah yang kadang-kala menjengkelkan, berat sebelah dan kucar- kacir (maaf, saya sedikit kasar di sini, tetapi inilah hakikat kehidupan. I have to be honest).
Lupakan pengalaman lepas, sekarang saya menumpukan sepenuh perhatian terhadap suami serta anak-anak yang lebih penting dari segala-galanya. Saya menulis sepenuh masa dan memilih konsep bekerja dari rumah @ WAHM (Work at home mom) untuk menjana pendapatan. Saya juga ada menjalankan perniagaan internet serta memiliki beberapa laman web perniagaan kerana amat minat dengan bidang ini yang tiada batas dan sempadan. Disebabkan minat yang mendalam ini, saya kini mahir dalam bidang internet termasuk pemasangan, pembinaan laman web dan berkaitan. Saya bermula dengan zero knowledge kerana bidang saya ialah Pengajaran Bahasa Inggeris (TESL). Inilah bukti di mana saya yang tiada apa-apa pengetahuan tentang bidang IT boleh mahir dalam bidang yang saya minati itu.
Sekiranya ada apa-apa, anda boleh hubungi saya di norehan_006@yahoo.com. Saya juga menjalankan khidmat terjemahan serta editing.