Apa kaitan telegram, pramugari dan solat? Ketiga-tiganya ada kaitan dengan diri saya.
Dalam akhbar semalam, ada berita tentang telegram yang berjaya menarik perhatian saya:
Mulai 1 Julai 2012, Telekom Malaysia telah menghentikan terus perkhidmatan telegram di negara kita. Perkhidmatan berusia 138 tahun ini, pasti menyimpan seribu kenangan dalam setiap individu di Malaysia, khususnya generasi veteran. Generasi muda sekarang, seperti anak-anak saya mungkin tak tahu pun tentang telegram. Mereka lebih mengenali SMS dari perkhidmatan telegram yang banyak berjasa sebelum terciptanya telefon bimbit, internet serta facebook.
Sebenarnya saya pun ada kenangan dengan perkhidmatan telegram ini. Selepas SPM pada tahun 80an dulu, saya pernah memohon jawatan pramugari. Hahaha! Ya!...Anda tak salah baca. Saya ada cita-cita hendak jadi pramugari. Siapa yang tidak tergoda dengan jawatan tersebut. Dapat naik kapalterbang, dapat melancong ke serata dunia secara percuma, seronok kan?
Senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga, saya hantar permohonan serta gambar saya, yang saya rasa paling 'cun' masa tu. Ketika itu, saya masih 'free hair', belum pakai tudung lagi. Selang dua minggu, saya dapat panggilan dari seorang wakil syarikat penerbangan XYZ. Katanya, saya terpilih untuk temuduga tetapi katanya, saya tak layak dipanggil temuduga kerana saya tidak sertakan sekali salinan keputusan SPM. Macam mana saya hendak lampirkan salinan keputusan SPM, kerana semasa saya hantar permohonan jawatan itu, keputusan SPM belum pun diumumkan lagi.
Jadi 'mamat' tu kata, "tapi disebabkan awak ni 'cun' dan termasuk dalam skala 1-10, saya akan panggil awak untuk temuduga." Saya 'terperasan' sekejap. Tak pernah terfikir di fikiran saya, saya termasuk dalam skala 1-10 dan kategori 'cun'. Haha....lucu apabila menginbas semula zaman-zaman muda remaja dulu.
Selang beberapa hari, saya terima sepucuk telegram yang menyatakan tentang panggilan untuk temuduga pramugari. Gembira sangat, maklumlah tak pernah dapat telegram. Perasaan gembira, teruja, semua ada. Kertas telegram pada masa itu dibuat dari kertas jenis murah, macam 'recycle paper'. Mungkin sekarang ini, dah guna kertas mahal. Kalau tak silap, telegram itu masih dalam simpanan saya, cuma tak tahu saya simpan di mana.
Apabila tiba hari temuduga, saya pun pergi dengan ayah. Saya pun dah lupa, bagaimana ayah saya boleh setuju dengan permintaan saya itu dan sanggup menghantar saya hingga ke Kuala Lumpur. Temuduga itu diadakan di Ming Court Hotel, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tidak jauh dari KLCC. Cuma ketika itu, KLCC belum wujud lagi. Jadi sekarang ini, apabila lalu di depan hotel tersebut, saya pasti teringatkan kisah ini walaupun ia peristiwa 20 tahun yang lalu.
Saya berbaju kurung merah jambu ke temuduga itu. Muka saya tidak ada secalit make-up pun, maklumlah baru habis SPM. Apa benda pun saya tak tahu, tidak seperti anak-anak zaman ini. Semua perkara mereka tahu, semua perkara dalam genggaman mereka.
Tiba giliran saya, saya pun dipanggil masuk bersama dua orang calon yang lain. Saya diajukan pelbagai soalan dan saya berjaya menjawab semuanya dengan lancar. At least, I thought I answered all the questions correctly. Tapi tak tahulah, kalau-kalau saya 'perasan' lagi. Saya gembira sangat ketika itu kerana harapan diterima sebagai pramugari XYZ semakin cerah.
Sebelum berakhir temuduga, salah seorang penemuduga telah bertanya kepada semua calon termasuk saya, sama ada kami ada apa-apa soalan untuk mereka. Seperti biasa, saya yang pertama angkat tangan. Ini soalan saya kepada mereka:
"Dalam kapalterbang nak solat di mana?" Hahaha....inilah soalan saya. Mohon maaf ya, saya tak pernah naik kapalterbang ketika itu, jadi saya tak tahu. Pepatah ada menyatakan, Malu bertanya, sesat jalan. Betul tak? Jadi, apabila tak tahu, saya akan bertanya.
Penemuduga yang terdiri dari dua lelaki serta seorang wanita itu berpandangan sesama sendiri. Suasana dalam bilik hotel itu senyap seketika. Kemudian, salah seorang memandang ke arah saya dan menjawab, "dalam kapalterbang ada satu ruang khas untuk solat."
"Ada ruang untuk solat? Macam surau?" Soalan-soalan ini berlegar-legar dalam minda saya. Nasib baik saya tidak terus bertanya.
Sebenarnya mudah untuk mendirikan solat dalam kapalterbang, tak perlu ada ruang khas. Kita ambil wuduk seperti biasa dan solat di tempat duduk kita. Pastikan aurat ditutup. Islam itu mudah. Kalau kita susahkan sesuatu itu, perkara itu akan jadi susahlah.
Untuk makluman, saya gagal dalam temuduga tersebut. Mungkin ada hikmahnya, Allah lebih mengetahui. Tidak lama kemudian, saya diterima masuk ke program Matrikulasi di salah sebuah universiti tempatan. Apabila kelapangan, Insya Allah saya akan kongsikan pula kisah-kisah ketika saya menjadi pelajar di universiti tersebut.
Inilah kaitan telegram, pramugari dan solat dalam hidup saya yang sempat saya kongsikan bersama.