Monday, July 23, 2012

Pengalaman Berpuasa

Salam Ramadhan Al Mubarak. Alhamdulillah, hari ini genap tiga hari kita berpuasa. Bagi yang bekerja di luar sana, bawa banyak bersabar ye. Insya Allah, segalanya akan dipermudahkan. Dan bagi mereka yang bekerja di rumah seperti saya, kita perlu banyak bersabar juga. Maklumlah, tilam dan katil yang empuk dalam bilik tidur itu, kelihatan lebih selesa dari duduk di atas kerusi sambil mengadap komputer ini.

Sebenarnya kalau anda semua hendak tahu, bukan mudah hendak mencari idea untuk menulis. Tetapi apabila idea datang, susah pula hendak berhenti.

Sepatutnya, saya fokuskan blog ini pada tips serta maklumat tentang penulisan. Tetapi, jika saya hanya tumpukan pada tips penulisan, takut anda semua bosan pula nanti. Atau mungkin saya pun akan bosan juga.  Jadi, saya rasa lebih baik saya tulis tentang apa-apa saja yang terlintas dalam fikiran saya ini. Setuju tak?

Berbalik pada bulan Ramadhan yang mulia ini, teringat saya pada kisah saya mula-mula belajar berpuasa di zaman kanak-kanak dulu. Ketika itu saya berusia 9 tahun, darjah tiga, sekolah pagi. Bangun sahur tak ada masalah, tetapi saya bermasalah ketika balik dari sekolah.

Saya balik sekolah dengan menaiki bas sekolah yang kecil. Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, matahari memang sedang memancar terik. Masa itu, bas sekolah tak ada air-cond macam sekarang. Panasnya! Tuhan saja yang tahu. Tekak memang haus melampau masa tu. 

Ada kalanya, bas sekolah saya akan lalu di hadapan gerai yang menjual air di tepi jalan. Ya Allah....hebatnya dugaan. Cuba bayangkan perasaan kanak-kanak 9 tahun, dengan iman yang masih rapuh, ternampak pula air berwarna-warni yang dijual di tepi jalan. Boleh gugur iman....hehe.

Kerja saya asyik telan air liur saja. Air liur yang dah kering dalam tekak tu..hehe. Apabila balik ke rumah, anda tahu ke mana saya pergi? Ke bilik air lah, ke mana lagi. Saya masuk, masa itu emak saya tak ada di rumah. Dia masih di tempat kerja. Yang ada di rumah ketika itu ialah arwah nenek saya. Saya kunci pintu bilik air, terus cedok air dan minum sepuas-puasnya...hahaha....tak senonoh betul. Itulah yang saya lakukan dari masa ke semasa ketika bulan Ramadhan. Anda macam mana pula?

Tak sedap pun air paip tu, rasanya tawar. Selang beberapa minit, perut saya akan rasa berkelodak sedikit. Maklumlah, perut kosong, minum air paip pula. Tapi tak kisah lah, yang penting dapat minum air. 

Semasa di sekolah rendah, saya selalu beli gula-gula kapas, yang macam gambar kat atas tu. Anda masa sekolah dulu, ada jumpa tak benda ni? Masa tu, gula-gula kapas ini dijual dalam plastik kecil dan ia digulung pada kon ais-krim. Ada warna pink dan putih, kalau tak silap saya.

Harganya 20 sen kot, dah tak ingat sangat. Saya selalu beli gula-gula kapas ini semasa menunggu kedatangan bas sekolah. Mana ada budak-budak yang tak sukakan gula-gula? Betul tak? Apabila tiba bulan Ramadhan, mana mungkin saya tinggalkan gula-gula kegemaran saya ini.

Saya akan beli sebungkus seperti biasa dan simpan dalam beg. Tak boleh makan di situ, pasal malu dengan kawan-kawan. Hehe....tahu pulak malu!

Tiba di rumah, saya makan gula-gula itu sedikit-sedikit sampai habis. Apabila emak balik kerja, dia tanya saya," Puasa tak?" Saya mengangguk sambil senyum. Sendiri buat, sendiri simpanlah...hehe....nakalnya.

Saya tak puasa pun masa kanak-kanak dulu. Nobody knows except the Almighty. Tapi sekarang, anda yang baca blog ini sudah tahu rahsia saya. Emak saya tak tahu lagi pasal hal ini sebab saya belum membuat pengakuan lagi. Lagipun, dia tak ada facebook (selalunya, saya akan pos setiap entri saya ke facebook). But don't worry, I'll tell her when I see her.

Tapi ayah saya mungkin akan baca entri ini. Yes, our 70 year old father has facebook, jangan terkejut. Dan kerana facebook juga, ayah saya dapat bertemu semula dengan kawannya yang menetap di Kelantan, yang sudah lost contact sejak di maktab tahun 60an dulu. Hebatkan?

Anda yang ada anak sekolah rendah dan berpuasa tu, cuba-cubalah intip mereka ketika mereka ke bilik mandi. Manalah tahu...hehe. Anak lelaki saya yang berusia 13 tahun, baru-baru ini ada membuat pengakuan yang semasa di sekolah rendah dulu, dia ada curi-curi minum air semasa berpuasa. Hmmm....

Anda masa kecil dulu ada curi-curi minum air tak? Kalau ada, kongsilah cerita anda di bahagian comment.

Sekali lagi, selamat menjalankan ibadah puasa. Semoga puasa kita tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...