Tuesday, August 16, 2011

Cara Mengatasi Writers Block

Membeli belah juga boleh hilangkan Writers Block...hmmmm??

Ketika ini saya sedang menyiapkan manuskrip Diari Aneesa 2. Dateline bagi manuskrip ini ialah awal November. Jadi terus terang saya katakan, kadang kala saya mengalami Writers Block.

Pernah dengar "Writers Block"? Writers Block (dalam BM saya tak pasti perkataannya) merupakan keadaan di mana seorang penulis tiba-tiba ketandusan idea untuk menulis. Hal ini mungkin disebabkan penulis itu sudah lama tidak menulis, menulis tanpa perancangan teliti atau kadang kala keadaan ini datang secara tiba-tiba. Berikut disertakan beberapa cadangan untuk mengatasi Writers Block:

  • Tuliskan apa-apa saja yang terlintas dalam fikiran anda di atas sehelai kertas. Buat seperti peta minda.
  • Keluar dari rumah buat seketika bagi menghirup udara segar.
  • Cubalah membaca artikel ringkas. Lagipun, jika anda seorang penulis, anda memang seharusnya banyak membaca.
  • Pergi ke dapur dan makan. Makan banyak pun tak mengapa kerana selepas makan, anda mungkin boleh menulis tentang perasaan bersalah anda kerana makan berlebihan.
  • Tulis jurnal atau diari. Penulisan begini kurang memberi tekanan. Saya pun ada diari saya sendiri yang saya guna sejak tahun 2007. (Ada sejarah menarik tentang diari saya itu. Nanti saya tuliskan satu entri khas tentang diari hitam itu).
  • Tinggalkan seketika komputer anda itu. Sekarang ini, godaan ketika menulis menggunakan komputer semakin banyak dengan adanya 'social networking' seperti Facebook dan sebagainya. Jadi, cuba menulis dengan menggunakan pensel dan kertas. Tetapi ini susah sedikit untuk saya lakukan kerana saya menaip lebih pantas dari menulis dengan menggunakan pensel.
  • Hubungi sahabat anda, keluarga atau saudara mara. Berbuallah dengan mereka kerana ini sedikit sebanyak dapat mengatasi Writers Block anda.
  • Lakukan senaman. Cara ini juga sesuai dilakukan. Selepas bersenam, anda pasti berasa segar dan Insya Allah, idea akan datang mencurah-curah.
Diharap cara-cara di atas dapat anda praktikkan sekiranya anda dilanda Writers Block.

Friday, August 5, 2011

Hamidah Anggun


Saya menulis cerita pendek ini dua tahun yang lepas dan hampir lupa pun. Nasib baik saya jumpa semula di blog ini.

Jom baca cerita pendek saya ini.

Hamidah amat mengambil berat hal kecantikan dan penampilan diri sejak remaja lagi. Segala petua kecantikan yang diwarisi daripada nenek serta ibunya tidak pernah diabaikan. Hamidah menurut segala-galanya tanpa sebarang bantahan. Maka tidak hairanlah setelah menjangkau usia pertengahan 40-an dan mempunyai empat orang cahayamata, Hamidah masih menawan dan kekal langsing.

“Kak Jah, kenapa pakai baju kelawar siang-siang hari macam ni?” Hamidah menegur jirannya yang sedang menjemur kain. Kak Jah hanya melemparkan senyuman tawar. Sejak hampir dua tahun berjiran dengan Hamidah, cara dia berpakaian, cara dia bertutur malah bentuk tubuhnya yang sudah tiada potongan kerap ditegur oleh Hamidah.

“Baju kelawar pun baju juga Midah,” jawab Kak Jah perlahan. Jika diikutkan perasaan mahu saja dia menyumbat mulut Hamidah dengan pakaian basah di dalam baldi yang masih belum dijemurnya itu. Namun, demi menjaga kerukunan jiran tetangga, Kak Jah melupakan terus hajatnya.

“Eh, Kak Jah! Mana boleh macam tu. Kita kena pakai baju yang cantik-cantik. Nanti, suami kita tak cari perempuan lain.” Hamidah yang mengenakan baju kebaya ketat berseluar jeans menyambung hujah sambil membetul-betulkan tudung yang senada dengan baju kebaya yang dipakainya. Malah, kasut dan beg tangan Hamidah turut senada dengan warna pakaiannya pagi itu.

“Midah lawa-lawa ini, hendak ke mana?” tanya Kak Jah cuba mengubah tajuk perbincangan. Tidak sanggup lagi dia mendengar syarahan Hamidah.

“Saya hendak ke spa, buat body scrub dan facial. Orang perempuan ni, Kak Jah, semua perlu dijaga, luaran dan dalaman,” sambung Hamidah lagi. Kak Jah melemparkan senyuman sekali lagi, kali ini senyuman kelat.

“Saya pergi dulu, Kak Jah. Saya sudah lewat ni.” Hamidah berlalu tatkala menyedari ‘nasihatnya’ tidak mendapat perhatian.

“Buat penat aku bercakap saja. Dari dulu sampai sekarang, tidak mahu berubah langsung. Asyik-asyik pakai baju kelawar. Badan pulak semakin lama semakin gemuk. Isshh! tak nak aku jadi macam Kak Jah tu.” Hamidah mengomel sendirian semasa memandu ke ‘Salun dan Spa Wanita Amat Cantik’ di Taman Permata.

“Zaleha, Kak Pah, Jun. Sebagai isteri dan wanita, jangan lupa penampilan diri. Walaupun kita surirumah, kita mesti sentiasa cantik. Jangan asyik pakai kemeja-T dengan kain batik. Tak cantiklah, selekeh,” Hamidah berhujah lagi ketika bersama-sama dengan beberapa orang surirumah yang sedang menunggu kedatangan lori sayur. Kali ini, Hamidah mengenakan pula sepasang baju kurung Johor yang sarat dengan kerawang dan manik-manik.

“Alah, Kak Midah ni. Jun dah memang lawa. Tak payah pakai cantik-cantik,” jawab Jun yang begitu selesa dengan kemeja-T bercop Pulau Pangkor dan seluar sukan. Dia pun kadang-kala naik bosan dengan gelagat Hamidah.

“Betul apa yang Jun cakap tu Midah,” sambut Kak Pah menyokong kata-kata Jun.

“Kak Pah ni, menyokong Jun pulak,” balas Hamidah seolah-olah merajuk. Hamidah sendiri sebenarnya sudah bosan dengan surirumah yang tidak sedikit pun mahu mendengar nasihatnya. Sebaik-baik saja lori sayur tiba, Hamidah segera berlalu pergi.

“Kak Midah, hendak ke mana tu? Tadi, kata hendak beli sayur,” laung Zaleha.

“Kak Midah tak masak hari ini. Nak pergi urut badan dengan Mak Usu sekejap lagi,” jawab Hamidah yang sudah pun masuk ke dalam kereta Kancilnya. Itulah kali terakhir Zaleha, Kak Pah dan Jun melihat kelibat Hamidah.

“Jah, mana Hamidah? Dah lama tak nampak batang hidung dia? Kancil putih dia pun, dah jarang Kak Pah nampak,” tanya Kak Pah kepada Kak Jah pada suatu petang.

“Dia balik kampung. Dengarnya, suami dia dah bernikah dengan pelayan gerai makan dekat selekoh sana tu,” maklum Kak Jah sambil bangun membetul-betulkan kain batik sarungnya.

“Betulkah, Jah?” Kak Pah meminta kepastian. Sukar baginya untuk mempercayai berita yang baru disampaikan oleh Kak Jah itu.

“Mustahil suami Hamidah boleh bernikah lagi. Hamidah sentiasa bergaya dan anggun. Di mana silapnya?” Kak Pah berkata dalam hati.

“Betul. Hamidah yang beritahu saya semalam. Sebelum ini suami dia selalu makan di gerai sana. Tiba-tiba, dah bernikah dengan pelayan dekat situ,” Kak Jah menyambung ceritanya. Sejurus kemudian, kedua-dua wanita lewat 40-an itu kelu membisu.

Rupa-rupanya, selama ini Hamidah terlalu sibuk menjaga kecantikan dan penampilan dirinya sehingga urusan rumahtangga serta layanan terhadap suami dan anak-anaknya terabai. Dapur Hamidah jarang berasap dan dia menjalankan urusan rumahtangganya sambil lewa. Dia sibuk mengamalkan petua-petua turun-temurun ibu dan neneknya sehingga petua-petua pengurusan rumahtangga tidak diendahkan langsung.

oleh: Norehan Mohd Nooh


Thursday, August 4, 2011

Buku Nota Watak


Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana proposal Diari Aneesa 2 sudah diberi lampu hijau. Maka bermulalah perjalanan saya ini bagi menyiapkan novel tersebut. Belum pun saya bermula, pihak editorial GISB telah membayangkan Diari Aneesa 3. Wah! Seramnya... Insya Allah, saya akan lakukan yang terbaik dan semoga Diari Aneesa 2 akan lebih baik dari yang sebelumnya.

Pernah dengan 'buku nota watak'? Sebelum ini, saya pun tak tahu tentang buku nota watak ini. Tn Hj Zakaria Sungib, Editor Pengurusan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. yang memperkenalkan fungsi buku ini kepada saya. Menurut beliau, buku nota watak ialah buku nota kecil bagi menyimpan koleksi-koleksi watak untuk novel kita. Setiap watak dalam buku ini ditulis secara terperinci seperti nama penuh watak, bentuk fizikal, latar belakang keluarga, perangai dan seumpamanya. Apabila ada penerangan terperinci begini, mudah bagi kita untuk menghayati watak tersebut semasa menulis nanti.

Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk menulis novel, bolehlah mula mengumpul watak-watak dalam buku nota watak ini. Semasa duduk-duduk menunggu bas tu, kalau-kalau ada watak yang menarik perhatian, cubalah wujudkan watak itu dalam buku nota watak anda. Kadang-kadang melalui watak-watak ini juga, kita akan dapat ilham untuk jalan ceritanya pula.

Siapa agaknya watak Aneesa dalam novel Diari Aneesa? Watak itu sebenarnya wujud. Cuma nama penuhnya bukanlah Aneesa, nama pelajar tersebut juga bermula dengan huruf "A". Sekarang ini, dia belajar di SMK Ulu Kinta. Kalau tak silap saya dia di Tingkatan 5. Kepada pelajar-pelajar SMK Ulu Kinta yang membaca entri ni, agak-agak anda kenal tak siapa pelajar ini? Dia seorang pelajar yang baik, menghormati guru, rajin, menutup aurat dan sedap mata memandang. Tetapi saya tidak pernah mengajar dalam kelas pelajar ini ketika saya di sesi petang dahulu. Wataknya yang menarik saya wujudkan dalam novel sulung saya itu.

Kini walaupun sudah jauh dari Ulu Kinta dan tidak mungkin berpeluang ke sana lagi, saya masih boleh mengimbas kembali saat-saat indah saya di sana dengan hanya membaca semula novel kesayangan saya itu. Itulah, "Setiap yang berlaku dalam hidup kita ini ada indah, manis dan masamnya. Saya bersyukur kerana dapat mengabadikan kenangan di SMK Ulu Kinta, sekolah terakhir saya dalam sebuah novel." Siapa sangka yang saya boleh bertukar pekerjaan dari pada seorang guru kepada seorang penulis. Semuanya dengan izin Allah Taala. Thank you Allah for everything, I love you so much.

Tuesday, August 2, 2011

Salam Ramadhan 2011

Juadah ringkas 'but cooked with lots of love'.
Yusof Tayubb jangan dilupakan.

Alhamdulillah, hari ini masuk hari kedua kita di bulan Ramadhan. Marilah kita mempertingkatkan dan melipatkaligandakan amalan-amalan kita seolah-olah Ramadhan kali ini merupakan yang terakhir.

Semalam, hari pertama berpuasa, saya pening kepala teruk, perut masuk angin agaknya. Kalau lapar atau sakit perut saya masih boleh bertahan. Tetapi kalau pening kepala, Subhanallah...tak boleh tahan sangat. Dalam pukul 4 petang, anak yang bongsu datang ke bilik dan tolong picitkan kepala. Selepas tu saya terus tertidur, nasib baik tak terlajak sampai Maghrib. Apabila bangun dari tidur, pening kepala mulai reda dan membolehkan saya menyediakan juadah berbuka. Rupa-rupanya, anak saya tu siap bacakan Al-Quran di sebelah saya dan berdoa agar saya cepat sembuh. Terharunya, terima kasih Thirah! I love you.

Semalam juga, anak-anak semuanya cuti sekolah sempena menyambut Ramadhan. Bagus pentadbiran sekolah-sekolah mereka. Kalau dapat cuti sebulan semasa Ramadhan pun baguskan, seperti di Indonesia. Sekolah dicutikan selama sebulan sempena Ramadhan. Cikgu-cikgu dan murid-muridnya dapat menjalankan ibadah berpuasa dengan lebih selesa.

Juadah berbuka semalam ringkas saja. Ayam masak merah, brocolli goreng, ikan masak kicap dan semestinya kurma. Air minuman ialah air oren dan air koko suam untuk anak-anak. Sudah hampir 3 tahun lebih, kami tidak minum air milo. Kenapa ya? Klik di sini untuk mengetahui sebabnya. Dan saya turut berazam untuk tidak membeli di bazaar Ramadhan kecuali betul-betul terpaksa. Memandangkan saya tidak lagi bekerja rasanya lebih afdal jika saya dapat menyediakan sendiri juadah berbuka puasa untuk keluarga tercinta. Insya Allah...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...