Friday, July 22, 2011

Jom Ganyang Aedes


Ini alat penyembur nyamuk.


Tu...dah mula masuk dalam rumah.

Jom Ganyang Aedes merupakan antara kempen yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha menghapuskan nyamuk Aedes. Dan memang tidak dinafikan kawasan tempat tinggal saya memang banyak nyamuk.

Baru-baru ini pasukan 'sembur nyamuk' Kementerian Kesihatan telah singgah untuk menyembur nyamuk di kawasan kediaman saya. Selama ini, saya hanya dalam melihat dari jauh dan setakat nampak asap saja. Tetapi kali ini saya dapat melihat dari dekat alat semburan nyamuk (fogging) kerana mereka telah masuk ke dalam rumah-rumah di sini untuk menyembur nyamuk. Rajin sungguh staf-staf Kementerian Kesihatan ini...saya beri 5 bintang!

Di sini saya ingin kongsikan tindakan yang perlu kita ambil bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes yang durjana itu. Rasanya anda biasa melihat risalah-risalah tentang bahaya nyamuk Aedes namun anda mungkin malas untuk membacanya...jangan risau saya pun malas juga. Tetapi untuk entri ini saya terpaksa dan memaksa anda juga untuk membacanya. Sekurang-kurangnya, kita dapat sedikit pengetahuan dan boleh bertindak sewajatnya bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes.

Dalam rumah:
  • Tukar air dalam bekas jambangan bunga setiap minggu atau gunakan gel sahaja. (saya tak perlu buat ini kerana tak ada jambangan bunga dalam rumah. Anda bagaimana? Bunga saya semua jenis plastik, tak perlu siram dan tidak banyak menyusahkan saya yang sentiasa sibuk ini).
  • Berus dan cuci kolah setiap minggu dan bubuh bahan pembunuh jentik-jentik (ini pun saya tak perlu buat kerana rumah saya tak ada kolah, kami mandi guna shower).
  • Dulang peti sejuk perlu dicuci setiap minggu (Ahaks....peti sejuk saya tiada dulang, senang kerja saya...hihi)
  • Pam tandas. Pastikan ia ditutup rapat dan baiki jika rosak. (Alhamdulillah, semua pam tandas rumah saya ditutup rapat)
Di luar rumah:
  • Bekas makanan polisterin hendaklah dibuang dalam tong sampah yang bertutup. (Jangan buang sampah merata-rata, saya pernah jumpa sebuah kereta di lebuh raya, dimana pemandu dan penumpangnya makan rambutan dan buang kulit di atas jalan, tak senonoh! Nasib baik mereka tak makan durian dalam kereta...kalau tidak....???)
  • Alas pasu bunga juga mestilah dicuci kerap dan bubuh bahan pembunuh jentik-jentik.
  • Pasu bunga. Tanahnya mesti digembur setiap minggu dan pastikan tiada air yang bertakung di situ.
  • Botol dan tin perlulah dilupuskan dengan sempurna. (Saya tinggal di apartment, jadi saya tiada masalah dengan hal seperti ini)
Kesimpulannya, kita harus bersikap ambil berat dalam usaha menangani pembiakan nyamuk Aedes ini. Jangan beri peluang langsung pada nyamuk-nyamuk ini untuk membiak. Terima kasih pada Kementerian Kesihatan kerana maklumat di atas ini saya petik dari risalah Jom Ganyang Aedes dan juga kerana datang ke kawasan perumahan kami untuk 'fogging'. Rajin-rajinlah menjenguk kami di sini.

Friday, July 15, 2011

Perlawanan Bowling

Posing sebelum game

Group yang menang...hooray! Tahniah!

Akhirnya tarikh yang dinanti-nantikan pun tiba. Maka saya yang hanya bermain bowling dua ke tiga tahun sekali, pun turunlah ke bowling alley di Wangsa Walk. Macam-macam perasaan ada, gementar, risau, takut, teruja, semuanya saya rasa. Tapi tak apalah, saja-saja seronok-seronok. Hari-hari mengadap komputer pun tak larat, berpinar biji mata.

Dalam pukul 9.45 pagi, saya keluar rumah kerana perlawanan bermula dalam pukul 10 pagi. Selepas sesi bergambar, kami pun mulalah bermain. Team saya pakai baju 'dark pink'. Mula-mula pakai baju ni tatkala keluar rumah, saya rasa malu sangat kerana saya jarang pakai baju warna cerah-cerah. Rasa macam bunga 'pink' berjalan.

Seronoklah masa tu, cuma bengang dan rasa rugi apabila bola masuk longkang. Selalu juga masuk longkang, sekali Strike dan dua, tiga kali Spare. Keseluruhannya, saya bersyukur kerana tidak mendapat anugerah Silver Spoon seperti dulu. Kiranya, kalau berlatih betul-betul mungkin saya boleh lebih mahir main bowling. Team saya, pada game pertama dalam ranking ketiga, tetapi selepas itu, entah ke mana pergi rankingnya. Tapi tidak mengapa, janji gembira dan seronok dapat bermain bowling sekali-sekali dengan kawan-kawan.

Azam saya yang seterusnya, hendak beli kasut dan bola bowling. Dan jika ada kelapangan hendak pergi buat latihan, supaya bola tak asyik masuk longkang dan tangan tak baling bola senget. Susah hendak kawal pergerakan tangan supaya tidak senget. Kalau perlu, rasa hendak daftar kelas belajar bowling. Baru best main...Strike!

Thursday, July 14, 2011

Sinopsis Diari Aneesa 2

Dalam kesibukan mengejar dateline serta menguruskan keluarga, sempat lagi saya menghabiskan Sinopsis Diari Aneesa 2. Baru semalam saya berkesempatan 'mengemailkan' sinopsis yang agak lama saya perap. Bukan sengaja memerapnya tetapi saya sibuk dengan tugasan penulisan yang lain. Buat ketika ini, editor mungkin sedang menilai sinopsis tersebut sebelum diberikan 'green light' untuk memulakan penulisan.


Sinopsis untuk novel ini ada pelbagai format. Tetapi pada kebiasaannya, perlu ada tiga bahagian dalam sesebuah sinopsis. Bahagian pertama ialah sinopsis ringkas lebih kurang satu muka surat, bahagian kedua ialah watak-watak serta penerangan terperinci tentang watak tersebut dan bahagian terakhir ialah sinopsis bab ke bab.

Sinopsis bab ke bab ini agak memakan masa untuk dilengkapkan kerana anda perlu menulis plot cerita dari bab pertama sehingga bab akhir. Akan tetapi ia sebenarnya memudahkan anda untuk menulis ceritanya kelak. Sinopsis bab ke bab ini lebih kurang sama seperti mapping atau rangka karangan. Kalau tidak ada sinopsis bab ke bab agak susah untuk menulis kerana cerita yang ditulis mungkin tidak tersusun.

Setelah sinopsis siap, anda perlu menghantarnya kepada editor syarikat penerbitan novel. Anda boleh hantar ke Galeri Ilmu Sdn Bhd., PTS publications, KarnaDya Sdn Bhd. atau pun mana-mana syarikat penerbitan. Namun sebelum berbuat demikian, anda perlu menghubungi syarikat tersebut melalui laman web mereka atau talian telefon untuk mengetahui format sinopsis yang mereka inginkan. Selamat mencuba.

p/s tahun 2011 tak dapat ke sesi mempromosi novel kerana tiada novel baru. Insya Allah mulai 2012, saya akan pastikan saya ke Pesta Buku KL tiap-tiap tahun untuk slot ini

Tuesday, July 12, 2011

Adakah anda sesuai untuk perniagaan internet?

Ramai yang mengimpikan pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah agar bebas dari tekanan di tempat kerja, kesesakan lalu lintas, tidak terikat dengan tugasan yang penuh mencabar dan sebagainya. Sekarang ini, bekerja dari rumah atau WHAM (Work at home mom) atau SOHO (Self Office Home Office) mula mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia, khususnya wanita.

Antara pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah ialah perniagaan internet. Namun adakah anda sesuai untuk menjalankan perniagaan internet di rumah? Berikut ialah beberapa perkara yang perlu anda ambil kira sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan dan bekerja sepenuh masa di rumah dalam bidang perniagaan internet.

  • Selesa menggunakan komputer - Memandangkan anda akan menceburi bidang perniagaan internet, sudah tentulah anda perlu selesa menggunakan komputer dan sanggup menghadap komputer berjam-jam. Ini kerana perniagaan internet bukanlah semudah yang disangka. Anda mungkin pernah melihat iklan di internet yang menjanjikan pendapatan beribu-ribu ringgit dalam masa sebulan atau seminggu. Perkara ini mungkin ada benarnya tetapi cuba bayangkan berapa jamkah harus anda duduk di hadapan komputer bagi memastikan anda menerima jumlah wang sedemikian?
  • Mengeluarkan sedikit modal permulaan - Mana ada peniagaan yang tidak memerlukan modal? Memulakan perniagaan internet juga memerlukan modal seperti perniagaan biasa. Anda perlu membina laman web, membeli domain serta web hosting. Semua ini memerlukan pelaburan. Bayaran upah untuk membina laman web, rata-rata sekarang mencecah ratusan ringgit. Anda masih boleh belajar membina laman web sendiri, tetapi untuk belajar pun memerlukan modal. Seperti saya sendiri, laman web norehan.com ini, saya bangunkan sendiri setelah mengikuti kelas dengan Nizzura daripada Koperasi Usahawan Internet.
  • Mendapat sokongan ahli keluarga - Dalam apa-apa hal sekalipun, sokongan ahli keluarga memainkan peranan penting dalam bidang perniagaan internet ini. Jika anda sudah berumahtangga, sokongan suami atau isteri begitu penting sekali. Jangan pula apabila anda lama menghadap komputer, pasangan anda ingat anda sedang layan facebook. Jika anda masih bujang, sokongan ibu bapa juga perlu kerana doa mereka penting untuk kejayaan anda. Walaupun saya sudah berumahtangga, saya masih lagi meminta restu dan doa daripada kedua ibu bapa setiap kali saya melakukan sesuatu dalam kehidupan ini.
  • Belajar dan belajar - Proses pembelajaran tidak akan berhenti selagi kita masih bernafas di bumi ini. Oleh itu, anda perlu sentiasa belajar dan cuba mendapatkan ilmu berkaitan perniagaan internet. Anda tidak akan rugi jika anda rajin belajar kerana ilmu yang anda perolehi tidak ternilai harganya.

Diharap selepas ini cuba anda fikir-fikirkan, adakah anda sesuai untuk menceburi bidang perniagaan internet ini? Orang lain tidak mampu membuat keputusan yang terbaik untuk anda. Maka, tepuk dada tanya selera.

Monday, July 11, 2011

Pekerjaan Sambilan Yang Pernah Saya Lakukan (Bhg 2).

Jom sambung semula bab pekerjaan sambilan yang pernah saya lakukan sebelum menemui pekerjaan yang sesuai dengan saya. Selain UITM, saya juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Sg Besi. Saya memandu ke Sg Besi sebaik selesai mengajar di sekolah pada sesi pagi.

Itu saja rasanya pengalaman saya mengajar secara sambilan. Selain mengajar secara sambilan, saya juga pernah menjadi penterjemah sambilan sekitar tahun 1999 kalau tak silap. Cuba bayangkan, waktu pagi sehingga tengah hari saya mengajar di sekolah, waktu petang saya ke UPM untuk kelas pengajian di peringkat Sarjana, selepas itu ke UITM pula untuk mengajar pelajar-pelajar Diploma. Selepas habis kelas di UITM, saya pergi berjumpa dengan editor sebuah majalah untuk urusan penterjemahan.

Apabila saya imbas kembali saat-saat itu, tak sanggup saya melalui semula jadual yang ketat sebegitu. Tetapi masa itu, saya tak kenal erti penat dan letih kerana saya seorang yang dalam kategori 'degil'. Motto saya ialah jika saya hendakkan sesuatu saya akan penuhi hajat saya selagi perkara tersebut tidak bercanggah dengan lunas agama dan halal. "I get whatever I want", wah...macam brutal saja ayat yang sering saya gunakan ini.

Saya juga pernah menjadi stokis bagi satu produk aura dan pernah menjual barangan ini di tepi jalan. Ketika itu, dengan muka tebal saya berjumpa pelanggan yang menghubungi saya melalui telefon. Business was good. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, saya terpaksa melepaskan bisnes tersebut kerana produk aura yang saya jual itu rupa-rupanya berunsur mistik. Saya rugi hampir 5k namun saya redha kerana percayakan kuasa Allah Taala yang terlalu hebat. Alhamdulillah, kuasa Allah, saya berjaya mendapat rezeki lain bagi mengganti kerugian saya itu.

Selain itu, saya pernah cuba menjadi agen insuran takaful. Ishh...boleh buat novel, kisah-kisah saya ini. Saya menduduki peperiksaan khas untuk agen insuran dan kemudian bermulalah perjalanan hidup saya sebagai agen insuran. Tetapi tidak bertahan lama kerana saya gagal menjumpai minat saya di sini. Ada 3-4 klien yang dapat saya 'takafulkan'. Itu pun kawan-kawan rapat dan saudara-mara.

Multi Level Marketing atau MLM, tak payah cakaplah. Sudah banyak MLM yang saya sertai dari yang paling rendah bayaran keahliannya sehinggalah yang paling mahal. Namun, bukan Linksenang hendak menaja orang dan saya gagal lagi. Jadi kesimpulannya, tidak semua orang boleh melakukan MLM dan saya berpegang pada ayat ini setiap kali ada sesiapa yang cuba mendekati saya untuk sertai MLM. Minta maaf ye...

Saya juga pernah mengadakan kelas menjahit manik. Kelas ini saya jalankan dengan seorang kenalan yang baru saya kenali. Disebabkan masalah tertentu, saya berhenti mengadakan kelas menjahit manik. Cukuplah setakat menjahit manik pada baju sendiri. Kalau ada sesiapa yang berminat hendak belajar menjahit manik dengan saya, bolehlah hubungi saya.

Apa lagi? Oh, ya. Saya juga pernah membuat biskut raya untuk dijual, tetapi berhenti separuh jalan kerana kurang minat hendak mengadap oven yang panas itu. Tetapi kalau ada sesiapa yang hendak tempah kek atau biskut boleh hubungi adik saya di Sweet Cheeries.

Pernah dengar perniagaan melalui Pos? Ini pun saya pernah buat, masukkan iklan dalam akhbar dan jika ada yang berminta dengan iklan kita, orang tersebut perlu SMS nama, alamat mereka kepada saya. Selepas itu, saya akan poskan iklan memujuk mereka membeli buku ringkas yang saya jual. Iklan ini rasanya sudah berkurangan dalam akhbar kebelakangan ini. Dulu iklan-iklan ini banyak dalam akhbar, iklan yang bermula dengan perkataan RAHSIA Jadi Kaya..sebagai contoh. Saya berhenti selepas beberapa ketika kerana merasakan seolah-olah saya menipu pelanggan dengan menjual buku panduan tentang sesuatu perkara pada harga yang mahal. Mungkin di sini, bermulanya minat saya untuk menulis.

Selepas tahun 2008, saya sudah tidak melakukan lagi apa-apa pekerjaan sambilan. Saya sudah bertemu dengan sesuatu yang sangat sesuai dengan jiwa saya iaitu MENULIS dan selain menulis saya juga mula melakukan perniagaan internet. Walaupun perniagaan internet saya masih lagi di peringkat awal dan belum lagi masuk mencapai keuntungan ribu-ribu, ia sudah mula menampakkan hasil. Jika diizinkan Allah Taala, selepas saya berjaya dalam perniagaan internet, kemungkinan besar saya akan menulis sebuah buku mengenainya.

Monday, July 4, 2011

Pekerjaan Sambilan Yang Pernah Saya Lakukan (Bhg 1).

Saya mula memasuki bidang pekerjaan secara rasminya pada tanggal 5 Ogos 1996. Sekolah pertama dimana bermulanya karier saya sebagai guru Bahasa Inggeris ialah di sebuah sekolah menengah di Klang. Saya mengajar di sana hampir 7 tahun sebelum mengikut suami berpindah ke Kluang, Johor. Diantara tahun 1996 sehingga secara rasminya saya meletakkan jawatan pada tahun 2010, banyak pekerjaan sambilan yang telah saya lakukan.

Kenapa saya melakukan pekerjaan sambilan walhal saya mempunyai pekerjaan tetap? Saya pun sukar hendak menjawab soalan tersebut. Mungkin kerana saya mencari-cari atau tercari-cari pekerjaan lain yang lebih sesuai untuk saya. Atau memang hendak mencari duit lebih kerana ketika itu gaji guru memang sekadar cukup makan tidak seperti sekarang. Tapi rasanya, memang saya sedang mencari pekerjaan yang lain kerana terus terang saya katakan saya tak suka jadi cikgu (dulu semasa saya masih bergelar guru saya tak berapa berani hendak berterus-terang tetapi sekarang saya bukan lagi guru), jadi tak salah rasanya saya mengaku.

Pekerjaan sambilan pertama yang saya lakukan ialah mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak satu pasangan Cina di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggal saya dengan bayaran RM200 sebulan. Lumayan tak? Bolehlah, siapa hendak beri duit percuma? Saya ke sana 2 kali seminggu, selama 2 jam setiap kelas. Malangnya saya bertahan selama sebulan sahaja kerana anak-anak pasangan tersebut nakal sungguh, tak terajar oleh saya. Selepas itu, saya mengajar pula di sebuah pusat Bahasa Inggeris di bandar Klang pada waktu malam. Bayaran yang saya terima kira-kira RM15 satu jam. Saya diberi kelas sebanyak 2 jam seminggu. Di situ pun saya tidak lama kerana berasakan berlaku ketidakadilan. Saya mendapat tahu di PJ dan KL ketika itu harga 'part time tutor' ialah sekitar RM25 sejam. Jadi saya pun meletakkan jawatan.

Kemudian saya menerima pula tugasan mengajar tuisyen Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar sekolah menengah agama di kawasan Sg Udang, Klang. Bayarannya bolehlah tahan. Selepas habis mengajar di sesi pagi, saya bergegas ke sekolah agama tersebut dan mengajar sehingga pukul 4.30 petang. Saya mengajar di sana dalam dua tiga bulan sebelum diterima sebagai tutor Bahasa Inggeris di UITM Shah Alam. Di sini, bayarannya lumayan. Saya dibayar RM100 sejam. Tetapi tidak lama kemudian, perkhidmatan saya dihentikan kerana keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan UITM, ketika itu ITM mengambil tenaga pengajar luar. Maka dengan berat hati, terpaksalah saya berhenti. Ok, sampai di sini sahaja buat kali ini. Nanti, saya akan sambung lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...